LInk

" Walk to remember" ~~ by AFNF

Wednesday, January 13, 2010

LIGA SUPER 2010: Selangor 4 K Lumpur 1




Rentak kemenangan Selangor berterusan di Stadium Shah Alam malam tadi apabila menewaskan musuh setempat Kuala Lumpur 4-1 dalam saingan Liga Super.

Turun dengan kesebelasan sama yang menjulang Piala Sultan Ahmad Shah di Paroi Sabtu lalu, Selangor menguasai babak awal permainan tanpa benar-benar mengancam kubu lawan sebelum dikejutkan oleh jaringan pelawat seawal minit ke-6.

Pasukan pelawat bimbingan Razip Ismail itu memperolehi sepakan percuma di sebelah kanan pintu gol Selangor yang diambil oleh Azwan Abd Malek dan mudah ditanduk masuk Yong Kuong Yong tatkala Hamsani Ahmad di gawang Selangor tidak dapat berbuat apa-apa.

Selangor bingkas bangkit mencari gol penyamaan namun terpaksa menunggu sepuluh minit kemudian untuk memperolehi peluang keemasan namun kecemerlangan penjaga gol lawan, Ramezey Che Ros menidakkan percubaan berturut Safee Sali dan Amri Yahyah.

Beberapa minit kemudian, palang pula menjadi penghalang tatkala sepakan kencang Safee dari luar kotak penalti berjaya menewaskan Ramezey.

Namun gol penyamaan yang dicari Selangor tiba juga pada minit ke-34. Hantaran lintang Safiq Rahim ditanduk masuk Safee menewaskan Ramezey yang gagal dalam usahanya menumbuk bola keluar dari kawasan bahaya.

Seminit kemudian Farderin Kadir berpeluang melebarkan jurang jaringan buat Selangor namun teragak-agak dalam bertindak sebelum rempuhan pertahanan Kuala Lumpur pada waktu yang sama mencederakan beliau sekaligus memaksa K Devan membuat pertukaran awal dengan memasukkan Amirulhadi Zainal sebagai ganti.

Lima minit sebelum separuh masa pertama berakhir, giliran Kuala Lumpur pula kecewa apabila sepakan percuma ketua pasukan Azidan Sarudin sekadar menggegar palang gol Selangor.

Bermula separuh masa kedua, pasukan tuan rumah menggandakan asakan namun kelihatan buntu untuk menembusi barisan pertahanan lawan lantas membuatkan Devan memasukkan wira Piala Sumbangsih R Surendren menggantikan Liew Kit Kong bagi menambah sengat jentera serangan.

Seperti juga di Paroi, Selangor tidak menunggu lama untuk melihat hasil perubahan taktikal Devan.

Safee yang menerima bola di hadapan kotak penalti Kuala Lumpur kemudiannya membuat hantaran belakang yang mengelirukan pertahanan lawan sekaligus membebaskan Amri yang hanya perlu melambungkan bola melepasi Ramezey yang telahpun menjatuhkan badan terlebih dahulu bagi membolehkan Selangor mendahului 2-1.

Selangor kian selesa pada minit ke-77 apabila larian pantas Surendren tidak mampu dihalang pertahanan pasukan wargakota lantas memberikannya tuga mudah menolak bola masuk melepasi Ramezey.

Pemain tengah skuad Bawah 23 negara yang baru ditandatangani Selangor untuk musim ini, Bunyamin Umar kemudiannya membuat penampilan pertama untuk skuad Gergasi Merah apabila masuk menggantikan rakan sepasukan dalam skuad negara, Safiq Rahim.

Penjaga gol Kuala Lumpur terus kecewa apabila kawalan bola menarik Surendren menewaskan beliau sekaligus menjadikan keputusan 4-1 ketika perlawanan berbaki dua minit.

SELANGOR: 21-Mohd Hamsani Ahmad, 3-Mohd Razman Roslan, 5-Khairul Anuar Baharom, 6-Mohd Nasriq Baharom, 4-Mohd Asraruddin Putra Omar, 18-Liew Kit Kong (23-R.Surendren), 8-Safiq Rahim (12-Bunyamin Umar), 14-Mohd Hardi Jaafar, 7-Farderin Kadir (20-Mohd Amirulhadi Zainal), 17-Mohd Amri Yahyah (c), 10-Mohd Safee Sali

KUALA LUMPUR: 19-Remezey Che Ros, 6-Jeremy Matthew Danker, 7-Azwan Abd. Malek, 8-Azidan Sarudin (c), 13-Raimi Md. Nor, 14-Badrol Hisham Azmi (17-Fahruzzahar Ali), 18-Yong Kuong Yong (10-Khairul Anuar Shafie), 20-Farouk Hashim, 21-Syafiq Johari (30-Ahmad Hazwan Bakri), 23-Farid Ramli, 25-Ahmad Dashila Tajudin


dipetik dari http://www.selangorfc.com

LIGA SUPER 2010: Selangor Juara Sumbangsih




Selangor memulakan liga super dengan bergaya apabila mengekalkan Piala Sumbangsih yang dimenangi musim lepas.Dibarisi dengan gandingan mantap dan berpengalaman selangor dilihat sebagai calon layak mengekalkan piala tersebut.Namun negeri sembilan yang dibarisi pemain muda dan berpenglaman juga tidak kurang hebatnya.N Sembilan mengasak seawal minit ke 7 apabila sepakan percuma yang diambil oleh Aidil Zafuan bagaimanapun terkena benteng sebelum sepakan susulannya terkena palang meskipun Hamsani Ahmad sudahpun tertewas.minit ke-26. Sepakan percuma diambil Rezal Zambery Yahya dari sebelah kanan mencari Idris yang berlari di antara Razman Roslan dan Kit Kong lalu menanduk melepasi jangkauan Hamsani sekaligus menggembirakan penyokong tuan rumah.Selangor cuba membalas namun dua sepakan percuma di kawasan berbahaya yang diperolehi selepas itu disia-siakan masing-masing menerusi sepakan leret Farderin yang ditepis keluar Farizal pada minit ke-31 dan sepakan Safiq yang meliar.
bersambung babak kedua, Selangor mengatur gerak mencari gol namun hantaran cantik Safee Sali menemui ketua pasukan Amri Yahyah namun tandukannya terkena tiang walaupun berjaya mengelirukan Farizal.Gandingan kemas barisan tengah dan pertahanan Negeri Sembilan jelas memaksa Selangor membuat percubaan dari jarak jauh di samping beberapa kali mengancam Selangor menerusi serangan balas pantas yang bagaimanapun gagal disempurnakan dengan baik.Devan membuat pertukaran pada minit ke-70 dengan memasukkan R Surendren dan Amirulhadi Zainal seminit kemudiannya bagi menggantikan Hardi Jaafar dan Farderin. Surendren mengambil tempat bergandingan dengan Safee manakala Amri turun beraksi di bahagian tengah. Minit ke-75 larian solo Surendren hampir membuahkan hasil namun dipatahkan lawan apabila beliau memilih untuk melakukan sepakan tatkala terdapat rakan sepasukan di posisi yang lebih baik. Namun kesilapan Alif Samsudin di posisi bek kanan si Rusa membolehkan Surendren mengambil kesempatan berlari berhampiran garisan gol sebelum melorongkan kepada Safee yang mudah menolak masuk gol penyamaan pada minit ke-76.Gol tersebut menggembirakan kira-kira 5,000 penyokong Merah Kuning,Selangor tidak menunggu lama untuk menjaringkan satu lagi gol, kali ini menerusi gerakan satu dua Surendren dan Safee yang disudahkan dengan baik oleh Surendren pada minit ke-82. Negeri Sembilan cuba mencari gol penyamaan namun kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan lantas memastikan skuad Red Giants menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kelapan.